Monday, August 3, 2009

::Petua Hadapi Selsema Babi ::

~gambar hiasan ;)~

1. PENYAKIT BERJANGKIT & IMANI QADA’ QADAR.
  • Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat, justeru di dalam Islam, tidak boleh diiktikadkan sedemikian.

  • Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah swt untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau tidak.

  • Membetulkan kefahaman ummat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang dari orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula salah menyalahkan di antara satu sama lain.
2. JANGAN TUDUH SESIAPA SEBAGAI PUNCA

  • Jangan menuduh sesiapa sebagai penyebab anda terkena selsema ini, jangan juga marah kepada sesiapa.

  • Mungkin sahaja kita ingin meyalahkan seseorang yang bersin di hadapan kita atau duduk di sebelah orang selsema di dalam train atau bas, namun diingatkan sekali lagi, kita sama sekali tidak boleh pasti, kita mendapat selsema dari orang terbabit, besar kemungkinan virus itu telah kita dapati sejak di stesyen bas lagi.

  • Perlu difahami juga, jarak tebaran germ dari seorang yang bersin secara terbuka adalah sekitar 10 kaki jaraknya. Justeru, JANGAN SALAHKAN SESIAPA dan yakinlah ia takdir Allah swt untuk menguji kita.
3. ELAK KELUAR DAN MASUK DARI KAWASAN SESAK DAN WABAK

  • Nabi s.a.w :-
    إذا سمعتم بالوباء بأرض فلا تقدموا عليه ، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه
    Ertinya : Apabila kamu mendengar terdapat wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula berada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan tersebut untuk melarikan diri. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
4. SEKATNYA DARI MENJADI PENYEBAR

  • Jikalau ditakdirkan kita tergolong dari mereka yang sedang diuji dengan selsema babi ini, pastikan sedaya upaya kita tidak menjadi sebab untuk merebaknya virus terbabit di kalangan awam. Justeru itu:-
    · Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau kain semasa bersin.
    · Sentiasa basuh tangan selepas memegang hingus, hidung atau selepas bersin di tangan, gunakan sabun atau apa-apa jenis sabun antibakteria.
    · Kurangkan berasak-asak di tempat awam, kerana peluang pemindahan virus boleh berlaku dengan lebih besar. Namun takdir Allah mendahului segala-galanya, jika telah ditakdirkan, seseorang yang mengunci diri di dalam gua batu sekalipun pasti akan kena, mungkin melalui virus yang dibawa di atas badan semut yang memasuki gua itu!.
5. CADANGAN PEMULIHAN : SARANAN DOKTOR DAN USTAZ

Bagi tujuan pemulihan, perkara biasa yang disarankan oleh para doktor adalah :-

  • Makan vitamin C dengan kadar lebih banyak dari biasa.

  • Minum air dengan kuantiti yang banyak, lebih banyak dari biasa.

  • Boleh mengambil (kecuali kanak-kanak bawah 5 tahun) ubat demam atau batuk yang biasa atau juga paracetamol dan pain killer seperti ibuprofen untuk melegakan beberapa symptom. (Rujuk doktor anda terlebih dahulu).

  • Ambil cuti dan berehat sehingga sembuh

  • Yakinkan diri dengan kesembuhan, sebutkan kata-kata yang baik untuk diri seperti yakin diri akan sembuh segera dan sebagainya. Selain itu, jangan pula mencerca dan memaki hamun semasa sakit. Hal ini disarankan melalui hadis :-
    لا عدوى ولا طيرة ، ويعجبني الفأل قالوا : وما الفأل ؟ قال : كلمة طيبة
    Ertinya : Tiada jangkitan (tanpa izin Allah) dan sial, dan aku suka kepada sikap Al-Fa’l, Sahabat bertanya : “Apakah Al-Fa’l ?”
    Nabi menjawab : “Kalimah yang baik (sangka baik untuk sembuh)

  • Berdoa agar beroleh kesembuhan dan doakan orang lain agar turut kuat dan sembuh dari jangkitan selsema babi ini.

  • Bersangka baik dengan Allah dan serahkan urusan kepada Allah swt. Iaitu jikalau telah terdapat ahli keluarga yang dijangkiti dan amat sukar untuk mengelakan diri dari bercampur dengan mereka. Dirwiyatkan di dalam sebuah hadi, Nabi meletakkan makan di dalam satu bekas bersama pesakit kusta lalu berkata :-
    كلْ باسم الله توكلاً على الله وثقة بالله
    Ertinya : Makanlah dengan bacaan Bismillah, bertawakkal kepada Allah dan berikan kepercayaan ( sangka baik) kepadaNya: (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, namun menurut analisa, hadis ini dinilai lemah)

  • Jangan sesekali putus asa jika ditimpa penyakit ini.
    Firman Allah swt :
    وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
    Ertinya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.
    Sekadar itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga semua kita dapat menghadapi saat sukar ekonomi dan kesihatan ini dalam keadaan yang jitu dan teguh iman kepada Allah swt.
    Akhirnya hayatilah kata nabi ini
    عجبا لأمر المؤمن ، إن أمره كله له خير ، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن ، إن أصابته سراء شكر وكان خيرا له ، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له
    Ertinya : hebat dan amat mengkagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa kebahagian dia bersyukur, maka ia perolehi kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga (Riwayat Muslim)
    Sebarkanlah artikel ini di merata tempat, semoga ramai beroleh manfaat dan terpandu untuk menentukan iman, minda, hati dan sikap yang betul.

Sekian


Ehsan : UstazZaharuddin Abd Rahman


copy & paste from : http://www.al-bakriah.com.my

No comments: